Ali Bukhari Amir
Tue | Mar 25, 08 | 2:05:13 am MYT
Di antara topik yang menjadi minat saya ialah mengkaji asal-usul Melayu serta asal-usul manusia seluruhnya. Di universiti, mungkin bidang ini dikenali sebagai Antropologi dan Sosiologi. Daripada renungan, menungan dan tenungan, saya dapat rumus beberapa hal.
Antaranya, bangsa Nabi Adam a.s masih lagi wujud ke hari ini dan kedua, banjir besar di zaman Nabi Nuh a.s tidak melibatkan satu dunia, tapi hanya di sebuah tempat saja atau di beberapa tempat sahaja. Tapi, kalau mahu dibahaskan semua ini, kita perlu 100 halaman.
Kembara mencari pengertian hidup sangat penting. Manusia hari ini semakin biadap serta kehilangan punca apabila panduan sejarah mereka terbabas. Malcolm-X, seorang pejuang Islam di Amerika dalam penjara pernah berceramah ketika berusaha meniupkan semangat kebangsaannya yang ketika itu disalut ajaran agama yang tersasar daripada Islam sebenar.
"Kita adalah kaum kulit hitam yang paling gagah di Afrika, iaitu kaum Syabaz," katanya. Dalam penjara, beliau memeluk Islam dengan nama Abdul Malek as-Syabaz. Gelaran as-Syabaz itu merujuk kepada nama kaum asalnya. Akhirnya, Malcolm-X kenal dirinya.
Beliau kemudiannya menjadi pengikut Elijah Muhammad yang membawa fahaman aneh. Di sinilah yang menyebabkan Islam yang beliau fahami sedikit tersasar. Bagaimanapun, semua ini mungkin tidak sama dengan ajaran Islam Hadhari betul ajarannya, tetapi salah bawaan tafsirannya kerana imam Abdullah Ahmad Badawi tidak lurus fikirannya.
Tahap kedua Malcolm-X mengenal Islam yang sebenar adalah ketika mana beliau pergi menunaikan ibadah fardhu haji di Mekah. Perjalanan kerohanian kali kedua ini telah pun menyebabkan beliau menukar corak perjuangannya selama ini yang melihat Islam dalam citra perjuangan kulit hitam menentang penghinaan kaum kulit putih di Amerika.
Di Mekah, Abdul Malek melihat kaum kulit hitam dan putih malah berlainan warna kulit telah bertawaf bersama-sama dan mereka makan setalam bersama-sama. Semua makhluk Allah. Ini semua bertentangan dengan ajaran Islam bawaan Elijah Muhammad.
Sekembalinya dari Mekah, pengaruh Malcolm-X mengatasi Elijah sehingga hal ini telah menyebabkan cemburu di hati Elijah. Malcolm kemudiannya mati ditembak ketika beliau menyampaikan ucapannya. Antara anak didik Malcolm-X adalah Muhammad Ali, bekas peninju terkenal di Amerika. Demikian kembara Abdul Malek mencari Islam sejati.
Kekuatannya ditemui setelah berusaha keras dalam usaha kembara mencari asal-usulnya.
Negara kita tiada falsafah?
Mufti Perak Dato' Seri Harussani Zakaria dalam suatu ucapannya di Anjung Rahmat lalu pernah berkata bahawa antara punca kenapa negara kita tidak membangun adalah kerana negara ini dibangunkan tanpa falsafah yang kuat.
Ketika itu beliau berucap di atas pentas Kumpulan Prihatin, sebuah kumpulan bebas yang dianggotai kumpulan dan ahli akademik yang memperjuang isu-isu tentang Melayu Islam tanpa melalui saluran politik kepartian.
"Kita tidak seperti Melaka yang dibangunkan dengan falsafah tersendiri. Sebab itulah kita dulu boleh membentuk sebuah empayar yang kuat di Nusantara," kata beliau.
Apabila menyemak Sulalatus Salatin, kita akan menjumpai bagaimana perjalanan Raja Iskandar Syah ketika memilih negeri yang baik seperti Melaka. Mereka ada rujukan dan panduan. Antaranya, mereka berpandukan haiwan dan tumbuhan yang terbaik.
Diriwayatkan sebelum Melaka dibuka, penguasa dahulu telah menemui beberapa tempat untuk dibuat negeri. Tetapi tempat itu tidak baik kerana banyak ditemui biawak. Mereka terus berkelana hingga menemui sebuah tempat di mana pelanduk kecil dapat menendang seekor anjing pemburu. Akhirnya, raja pun mengetahui bahawa di situlah negeri terbaik.
Negeri yang kecil menawan wilayah besar
Raja itu bernama Iskandar Syah yang telah ditawan negerinya, Temasek oleh orang Jawa. Mungkin raja ingin mencari kekuatan baru daripada serangan orang Jawa. Pelanduk yang kerdil dapat menewaskan anjing yang lebih kuat supaya rakyatnya nanti yang kerdil dapat mengembangkan negeri menjadi empayar setaraf Majapahit dan Sriwijaya.
Jikalau digali kekuatan sejarah lalu, nescaya timbullah kekuatan baru. Kisah pelanduk itu dikembangkan sebagai cerita rakyat seperti sang kancil menipu buaya dan lain-lain untuk meningkatkan keyakinan rakyat bahawa kaum yang kecil dapat menewaskan kaum yang lebih kuat. Ini semua adalah senjata kerohanian yang tersimpan.
Semua inilah menyebabkan saya terdorong menonton sebuah filem yang ditayangkan di pawagam kini; 10,000 B.C. Saya fikir, ia mungkin dapat menjawab beberapa pertanyaan yang selalu hinggap di fikiran saya mengenai usia bumi dan usia ketamadunan manusia.
Ini kerana, selalu terjadi pertentangan pendapat antara ahli sains dan agamawan mengenai usia bumi dan tamadun manusia. Malahan ada tokoh agama terkenal negara yang berkata, guru agama yang menyifatkan bumi berusia 10,000 tahun adalah karut dan memalukan Islam. Hal ini perlu diperjelaskan dengan baik bagi mengelakkan kekeliruan.
Sebenarnya, ahli sains Barat dan gereja Kristian berbalah pandangan dalam hal ini, bukan antara ahli sains Barat dan Islam sahaja. Ini terjadi kerana ahli sains telah menolak agama sebagai salah satu rujukan. Sebab itulah mereka melihat manusia berasal daripada beruk.
Semua ini memerlukan penjelasan yang panjang juga. Tetapi, secara ringkas saya gabung jalinkan pandangan agamawan dan saintis sebagai berikut: "Usia dunia ini adalah berjuta-juta tahun dan usia tamadun manusia adalah sekitar 10,000 tahun sahaja."
Penjelasan ini membawa beberapa kenyataan lain. Antaranya, tidaklah terjadi peperangan demi peperangan antara Nabi Adam a.s dan zuriatnya dengan haiwan liar seperti dinosaur itu. Ketika Nabi Adam turun, dinosaur sudah pupus digantikan dengan haiwan lain.
Ketika Malaikat mengeluarkan pandangan bahawa Adam a.s dan keturunannya tak sesuai menjadi Khalifah, mereka memandang dunia ketika dinosaur berbunuhan untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka di dunia ini. Di situlah timbulnya dialog yang tercurah dalam al-Qur'an (al-Baqarah: 30)
Kisah 10,000 B.C
Kembali kepada filem 10,000 B.C, saya dapati panduannya bukanlah agama. Tapi ia tetap meletakkan usia tamadun manusia adalah sekitar 10,000 tahun berasaskan tajuk filem itu.
Filem ini mengisahkan zaman prasejarah yang mengisahkan sebuah kaum yang berdepan dengan ancaman gajah purba (mammoth). D'Leh (Steven Strait) adalah pemburu harapan kaum Yagahl. Suatu cara untuk memelihara kelangsungan hidup kaum ini ialah, pemburu ini perlu menewaskan gajah-gajah purba dengan menyerang secara berkumpulan.
Dalam kaum itu ada seorang wanita tua yang menjadi ketua kaum itu. Beliau mempunyai kuasa psikik telah meramalkan kemunculan gadis bermata biru yang menjadi pasangan hidup D'Leh, iaitu Evolet (Camilla Belle).
Kemuncak cerita bermula apabila kaum Yagahl diserang kaum lain untuk diperhambakan kepada sebuah kaum yang lebih besar pentadbirannya. Kaum itu amat zalim mirip Fir'aun. Bagaimanapun, tiada babak yang mengisahkan bahawa D'Leh bertemu nabi dan rasul.
Di dalam serangan itu, Evolet kekasih D'Leh telah ditangkap. Lalu, pengembaraan D'Leh bermula untuk membebaskan kekasihnya termasuk anggota masyarakatnya, yang berasal daripada pergunungan bersalji. Di akhir kisah, D'Leh berjaya membunuh 'Firaun' dan ia bukan seperti kisah Fir'aun yang mati lemas di Lautan Merah, menurut riwayat agama.
Kesimpulannya, sejak awalnya, manusia telah 'civilized' sejak awal kewujudannya. Jadi, mereka bukan hidup tanpa panduan pada asalnya. Kemudian, akan ada sekelompok insan yang berpecah daripada panduan Nabi Adam dan nabi-nabi lain lalu mengambil panduan syaitan. Mereka inilah menjadi kaum yang tidak bertamadun dan peminum darah.
Setelah amalan meminum darah manusia dan mengorbankan jiwa (khususnya anak gadis) semakin menjadi-jadi, ia akan bertukar dan berkembang sebagai suatu budaya membunuh hak awam, memunggah tiang keadilan lalu memasang sendi kezaliman dan pelbagai lagi.
'Merosakkan bumi' dan 'menumpahkan darah'
Antara isu yang dibangkitkan oleh para malaikat berasaskan surah al-Baqarah ayat 30 itu, ialah sikap manusia yang menumpahkan darah (amalan minum darah sebagai suatu syarat pemujaan syaitan atau melalui peperangan) dan akhirnya merosakkan bumi.
Satu pertanyaan yang amat baik diutarakan di sini bagaimana malaikat dapat melihat jauh masa depan bumi yang akan dirosakkan? Malaikat mungkin melihat haiwan purba saling berbunuhan. Tetapi, bagaimana mereka meramalkan kita menjadi perosak bumi? Haiwan purba itu tidak merosakkan hutan? Haiwan itu tidak menumbangkan pokok-pokok hutan di atas nama pembangunan seperti lagaknya perangai manusia biadap pada hari ini.
Yang menarik, berdasarkan al-Baqarah ayat 30, kenapa malaikat mendahulukan perangai insan; 'yufsidu fiiha' (merosakkan bumi) dan mengakhirkan isu 'yasfiku ad-dima' (bunuh dan tumpahkan darah melalui jalan peperangan)?
Sekali imbas, nampaknya kepedulian malaikat ke atas sikap insan yang merosakkan alam ini lebih jelas dan keras daripada sikap saling berbunuhan dan bersengketa. Kalau ditanya kepada ahli politik di negara ini, tentu mereka geleng kepala. (termasuk saya sendiri)
Rujuk, gali semula hikmah daripada panduan asal
Akhirnya saya rasa kita perlu merujuk kepada panduan kita yang asal, al-Qur'an. Hikmah kebijaksanaan Melayu purba yang ditinggal kepada zuriat-zuriat mereka sebagai rujukan. Pertama, kata Allah. Kedua, kata rasul. Ketiga, kata pusaka (petua-petua), Keempat, kata muafakat (syura, mesyuarat yang mengambilkira semua pendapat setiap ahli masyarakat).
Syahadan, baru-baru ini tersiar seruan untuk menyatukan Melayu yang dibangkitkan oleh Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM). PAS dan Umno diseru untuk bersatu lagi. Satu tugasan yang ingin saya sampaikan kepada BBPM ialah kaji semula siapakah orang yang pertama memajukan seruan untuk menyatukan orang-orang Melayu ini?
Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dikenali sebagai Melayu Kiri lahir pada 1945 dan disusuli Umno (1946), dikenali sebagai Melayu anak didikan British. Presiden PKMM adalah Dr Burhanuddin al-Hulaimy dan Presiden Umno ialah Onn Jaafar.
Onn Jaafar selalu disifatkan media Umno sebagai orang yang menyeru ke arah perpaduan Melayu. Sasterawan Negara, Usman Awang dalam novel Tulang-tulang Berserakan telah menyatakan kekagumannya ke atas Dr Burhanuddin ketika sosok itu berpantun dalam PKMM sejak 1945:
Di atas runtuhan Kota Melaka,
Kita bangunkan jiwa merdeka,
Bersatulah Melayu seluruh baka,
Membela hak keadilan pusaka.
Siapa orang yang pertama menyeru ke arah perpaduan Melayu? Saya tak tahu. Ini kerana, seperti yang saya sebut pada awal-awal perbincangan, saya sendiri masih mengkaji asal-usul manusia sejak Adam a.s. Saat Melaka diserang Siam, Portugis dan lain-lain bangsa, mungkin ada seorang panglima, hulubalang lain yang menyeru Melayu agar bersatu.
Tapi jika ditanya antara Onn Jaafar dan Dr Burhanuddin, saya berani berhujah bahawa Dr Burhanuddin itulah sosok pertama menyeru ke arah perpaduan Melayu. BBPM perlu juga mengetengahkan hujah ini kepada Umno sebelum parti mahu bergabung dengan PAS.
Agak sukar juga bagi Umno untuk mahu menelan kepedihan begini. Itu belum lagi masuk hujah pusingan kedua; siapa yang lebih jelas ketara memperjuangkan Ketuanan Melayu? Jika BBPM mahu tahu lebih lanjut, sila ke arkib negara atau rujuk Parliamentary Debates dan semak ucapan TYDP PAS, Hj Hasan Adli pada 1962 berhubung hal itu.
Penting bagi Umno dan Melayu bekerja kuat seperti Malcolm-X yang akhirnya menemui kebenaran agama di Mekah dan Padang Arafah, tempat bertemu Adam a.s dan Hawa. Ini semua berlaku setelah dia mengenal kaum asalnya di Afrika, iaitu puak as-Syabaz.
1:25 pagi, 25 Mac 2008
Sekolah Pemikiran Kg Baru