15 November 2010

Khutbah Khujjatul Wida' (9 Zulhijjah, 10 Hijrah)

Rating:★★★★★
Category:Other
KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD SALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
Khutbah ini disampaikan oleh Baginda Rasulullah (s.a.w.) pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijriyah bertempat di Lembah Uranah, Gunung Arafah. (‘Khutbah Khujjatul Wida’)


* Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

* Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui TUHAN kamu dan DIA pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. ALLAH telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

* Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

* Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

* Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, Sembahlah ALLAH, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ‘ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal-soleh.

* Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap ALLAH pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

* Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya; itulah Al-Quran dan Sunnahku.

* Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikannya pula kepada orang lain, dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku.

* Saksikanlah Ya ALLAH, bahawasanya aku telah sampaikan risalah MU kepada hamba-hamba MU.

1 comment:

affandi fnd said...

Alhamdulillah... terimakasih tolong sampaikannya. Kepada yg telah membacanya sebelum ini bolehlah menyegarkan semula peringatan amanah yg telah disampaikan oleh Nabi kita ini. Walaupun ringkas tapi menyentuh segala halatuju kehidupan kita yg sebenar2nya.

Post a Comment