14 September 2021

Kitab Ilmu Bedil

 KITAB ILMU BEDIL BONGKAR PERSENJATAAN MELAYU

 

ALOR SETAR: Kitab Ilmu Bedil yang masih dalam bentuk manuskrip, dapat menafikan pandangan stereotaip Kesultanan Melayu Melaka jatuh pada 1511 kerana bersenjatakan keris saja.


Justeru, fakta sejarah perlu diperkemaskan untuk membentuk jati diri bangsa yang kukuh, termasuk mengemukakannya kepada pihak berwajib untuk memperbetulkan fakta berkenaan.


Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad, berkata ia menjadi agenda penting pihaknya untuk menyebarluaskan kehebatan warisan bangsa kepada generasi muda berbanding Barat.


"Saya kecewa apabila ada pemimpin menyebut Kesultanan Melayu Melaka jatuh kerana hanya menggunakan tanah dan keris untuk melawan Portugis yang menggunakan senjata api dan meriam.


"Tanggapan itu salah kerana tentera Sultan Mahmud Shah sudah bersenjata api, malah ada ciptaan kita jauh lebih baik daripada Portugis dan setanding Jerman.


"Ini bukan kenyataan saya, tetapi dipetik daripada catatan penulis dari Barat seperti dalam buku Asia Portugueza karya Manual de Faria Y Souza.


"Beliau menyebut senjata api buatan Melaka setanding Jerman, manakala semua meriam dihasilkan dengan amat baik dan tidak dapat ditandingi walaupun meriam buatan Portugis," katanya pada Pameran Manuskrip Melayu Warisan Dunia dan Wacana Bedil: Tradisi dan Kini di sini.


Abdul Mua'ti selaku pengkaji manuskrip Kitab Ilmu Bedil, adalah antara panel jemputan pada wacana terbabit bersama Pengerusi Banyan Antiques House Sdn Bhd, Dr Zikri Abd Ghani.


Abdul Mua'ti berkata, penulisan terkandung dalam kitab itu membuktikan orang Melayu sudah arif mengenai ilmu bedil atau menembak yang turut menceritakan cara pembuatan senjata.


Beliau berkata, dalam manuskrip itu juga tertulis cara membidik secara manual yang diceritakan satu persatu. Antara senjata api yang orang Melayu hasilkan ialah Malacca Musket (istingar) dan Malay Matchlock.


"Selepas kejatuhan Melaka, kita tidak lagi menghasilkan senjata dan cuma memasangnya di sini.


"Jadi adalah salah pahlawan Melayu dulu digambarkan hanya membawa keris sedangkan sejarah membuktikan senjata utama adalah senjata api.


"Seperti tentera sekarang membawa lebih lima senjata, begitu juga hulubalang dulu kerana mereka membawa senjata api bersama keris dan beberapa lagi senjata rahsia," katanya.


Abdul Mua'ti memetik Pegawai British di Melaka, Thomas John Newbold dalam tulisannya, Political and Statistical Account of The British Settlements In The Straits Of Malacca, 'Tidaklah menghairankan andai dapat melihat pendekar Melayu lengkap bertanjak dan berbusana Melayu bersama keris dan senjata api seperti istinggar.'


"Ungkapan Edward Monckton pada 1722 juga menyebut Sultan Melayu termasuk Sultan Kedah memiliki senjata api yang mampu menghalau semua orang Eropah dari India sekiranya mereka tahu menggunakannya," katanya.


Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan rasmi dengan kementerian berkaitan untuk memperkemaskan fakta sejarah terbabit.


"Kita sudah menyebarkan maklumat tidak betul dan perlu ada komunikasi warisan untuk memberitahu generasi muda bahawa nenek moyang kita dahulu hebat.


"Kita ada kitab Ilmu Bedil yang semuanya lengkap, sekali gus perlu mengemukakannya kepada pihak berwajib untuk memperkemas fakta sejarah. Ini tidaklah bermakna semua fakta tidak betul, sebaliknya ada tempat tertentu perlu diperkemaskan," katanya.

Sumber : 

NOOR AZURA ABDUL RAHMAN


bhsastera@bh.com.my

07 September 2021

ORANG KAYA MARHUM BERDIRI : PEJUANG SEJATI ⚔️

 ORANG KAYA MARHUM BERDIRI : PEJUANG SEJATI ⚔️



⚔️Perang Naning 1832 merupakan sebuah perang yang mencerminkan sifat kepahlawanan dalam kalangan orang-orang Melayu. Selain daripada Datuk Dol Said, perang Naning memperlihatkan ramai tokoh-tokoh pahlawan yang sanggup berjuang demi mempertahankan bangsa dan agama.


⚔️Antara nama pahlawan yang menjadi lagenda dalam masyarakat Naning terutamanya di kawasan pekan Alor Gajah adalah Orang Kaya 'Mati Berdiri'. Walaupun tidak terkenal seperti Allahyarham Datuk Dol Said namun namanya sering diceritakan dalam kalangan penduduk.


⚔️Orang Kaya Mati Berdiri atau nama sebenarnya Orang Kaya Besar Datuk Aji (Marhum Berdiri gelaran selepas beliau meninggal dalam keadaan berdiri) merupakan seorang pembesar Tiang Balai Naning dari suku Anak Melaka Paya, merupakan Penghulu besar di kawasan Alor Gajah. Beliau mempunyai seorang anak yang bernama Orang Kaya Andika Raja Datuk Mat Sah yang merupakan Penghulu Demang di wilayah Naning selepas perang Naning 1832.


⚔️Lagenda Orang Kaya Mati Berdiri bermula semasa Perang Naning 1832, apabila Orang Kaya Besar Datuk Aji bermati-matian mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh bangsa Inggeris. Menurut cerita orang-orang tua, selepas orang Inggeris mengetahui kelemahan orang orang Naning, maka ketika itu gugurlah seorang demi seorang pejuang Naning sehinggalah kubu di kawasan pekan Alor Gajah berjaya ditembusi oleh pihak Inggeris.


⚔️Melihat daripada keadaan itu maka Datuk Aji telah bermati-matian menentang askar-askar Inggeris yang terdiri daripada askar gujerat. Ketika inilah askar-askar dari pihak Inggeris bertalu-talu menembak Datuk Aji kerana beliau menghalang kemaraan tentera Inggeris daripada menyerang Taboh Naning.


⚔️Datuk Aji dalam mempertahankan kubunya menyebabkan askar-askar Inggeris mula menjadikannya sasaran penyerangan. Tembakan demi tembakan menghujani tubuhnya namun beliau terus melibas pedangnya sehingga patah lalu mengeluarkan kerisnya untuk terus membunuh musuh. Luka tembakan menyebabkan darah beliau keluar mencurah-curah tanpa berhenti namun Datuk Aji tidak mempedulikan tembakan-tembakan untuk kerana di depan matanya ia telah terlihat Syurga Allah.


⚔️Selepas lama bertarung akhirnya Datuk Aji telah meninggal dunia dalam keadaan berdiri sambil membuka kuda-kuda silat dengan tangannya menjulang keris dan matanya kelihatan putih. Jangut dan rambutnya yang putih kelihatan keperangan akibat terendam dek darahnya dari luka-luka libasan pedang dan tembakan. Maka ketika itulah beliau telah Syahid menghadap Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam keadaan berdiri memperjuangkan agama dan bangsa.


⚔️Setelah diperiksa maka kematian Datuk Aji bukanlah kerana tembakan, akan tetapi disebabkan darahnya telah kering di badan. Tidak setitis pon darah yang tinggal ditubuh arwah, semuanya habis keluar demi memperjuangkan agama Allah. Oleh itu, berdasarkan peristiwa ini maka wujudlah bidalan orang tua-tua iaitu "berjuang sehingga titisan darah yang terakhir".


⚔️Dikhabarkan daripada orang tua-tua bahawa ketika jenazahnya hendak diusung untuk dibawa pulang ke rumah, buluh yang mengusungnya patah kerana beratnya jenazah itu. Apabila diteliti oleh ahli keluarga maka di tubuh arwah terdapat banyak peluru-peluru yang tertanam di tubuhnya sehinggakan tubuh arwah menjadi berat.


⚔️Maka ketika itu ahli keluarga dan sahabat handai membantu mencungkil keluar peluru-peluru yang tertanam di tubuhnya. Selepas mengeluarkan seluruh peluru di badan maka didapati peluru itu memenuhi satu batil besar. Bayangkanlah betapa seksanya beliau menahan kesakitan daripada hujanan peluru-peluru penjajah.


⚔️Maka sekalian orang Melayu lihatlah bagaimana Datuk nenek moyang kita pertahankan tanah air dan bangsa menggunakan nyawa dan darah. Tidakkah kita mengenang jerih perit datuk nenek moyang kita yang mempertahankan agama dan bangsa?

📝 Tok Tiang Pagho


📝BANGSA NUSANTARA JAYA (Sejarah, Peristiwa, Kegemilangan, Senibina & Budaya) ⚔️


Sumber : https://www.facebook.com/groups/830724801207627/permalink/878347143112059/


https://www.facebook.com/groups/830724801207627/?ref=share