07 September 2021

ORANG KAYA MARHUM BERDIRI : PEJUANG SEJATI ⚔️

 ORANG KAYA MARHUM BERDIRI : PEJUANG SEJATI ⚔️



⚔️Perang Naning 1832 merupakan sebuah perang yang mencerminkan sifat kepahlawanan dalam kalangan orang-orang Melayu. Selain daripada Datuk Dol Said, perang Naning memperlihatkan ramai tokoh-tokoh pahlawan yang sanggup berjuang demi mempertahankan bangsa dan agama.


⚔️Antara nama pahlawan yang menjadi lagenda dalam masyarakat Naning terutamanya di kawasan pekan Alor Gajah adalah Orang Kaya 'Mati Berdiri'. Walaupun tidak terkenal seperti Allahyarham Datuk Dol Said namun namanya sering diceritakan dalam kalangan penduduk.


⚔️Orang Kaya Mati Berdiri atau nama sebenarnya Orang Kaya Besar Datuk Aji (Marhum Berdiri gelaran selepas beliau meninggal dalam keadaan berdiri) merupakan seorang pembesar Tiang Balai Naning dari suku Anak Melaka Paya, merupakan Penghulu besar di kawasan Alor Gajah. Beliau mempunyai seorang anak yang bernama Orang Kaya Andika Raja Datuk Mat Sah yang merupakan Penghulu Demang di wilayah Naning selepas perang Naning 1832.


⚔️Lagenda Orang Kaya Mati Berdiri bermula semasa Perang Naning 1832, apabila Orang Kaya Besar Datuk Aji bermati-matian mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh bangsa Inggeris. Menurut cerita orang-orang tua, selepas orang Inggeris mengetahui kelemahan orang orang Naning, maka ketika itu gugurlah seorang demi seorang pejuang Naning sehinggalah kubu di kawasan pekan Alor Gajah berjaya ditembusi oleh pihak Inggeris.


⚔️Melihat daripada keadaan itu maka Datuk Aji telah bermati-matian menentang askar-askar Inggeris yang terdiri daripada askar gujerat. Ketika inilah askar-askar dari pihak Inggeris bertalu-talu menembak Datuk Aji kerana beliau menghalang kemaraan tentera Inggeris daripada menyerang Taboh Naning.


⚔️Datuk Aji dalam mempertahankan kubunya menyebabkan askar-askar Inggeris mula menjadikannya sasaran penyerangan. Tembakan demi tembakan menghujani tubuhnya namun beliau terus melibas pedangnya sehingga patah lalu mengeluarkan kerisnya untuk terus membunuh musuh. Luka tembakan menyebabkan darah beliau keluar mencurah-curah tanpa berhenti namun Datuk Aji tidak mempedulikan tembakan-tembakan untuk kerana di depan matanya ia telah terlihat Syurga Allah.


⚔️Selepas lama bertarung akhirnya Datuk Aji telah meninggal dunia dalam keadaan berdiri sambil membuka kuda-kuda silat dengan tangannya menjulang keris dan matanya kelihatan putih. Jangut dan rambutnya yang putih kelihatan keperangan akibat terendam dek darahnya dari luka-luka libasan pedang dan tembakan. Maka ketika itulah beliau telah Syahid menghadap Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam keadaan berdiri memperjuangkan agama dan bangsa.


⚔️Setelah diperiksa maka kematian Datuk Aji bukanlah kerana tembakan, akan tetapi disebabkan darahnya telah kering di badan. Tidak setitis pon darah yang tinggal ditubuh arwah, semuanya habis keluar demi memperjuangkan agama Allah. Oleh itu, berdasarkan peristiwa ini maka wujudlah bidalan orang tua-tua iaitu "berjuang sehingga titisan darah yang terakhir".


⚔️Dikhabarkan daripada orang tua-tua bahawa ketika jenazahnya hendak diusung untuk dibawa pulang ke rumah, buluh yang mengusungnya patah kerana beratnya jenazah itu. Apabila diteliti oleh ahli keluarga maka di tubuh arwah terdapat banyak peluru-peluru yang tertanam di tubuhnya sehinggakan tubuh arwah menjadi berat.


⚔️Maka ketika itu ahli keluarga dan sahabat handai membantu mencungkil keluar peluru-peluru yang tertanam di tubuhnya. Selepas mengeluarkan seluruh peluru di badan maka didapati peluru itu memenuhi satu batil besar. Bayangkanlah betapa seksanya beliau menahan kesakitan daripada hujanan peluru-peluru penjajah.


⚔️Maka sekalian orang Melayu lihatlah bagaimana Datuk nenek moyang kita pertahankan tanah air dan bangsa menggunakan nyawa dan darah. Tidakkah kita mengenang jerih perit datuk nenek moyang kita yang mempertahankan agama dan bangsa?

📝 Tok Tiang Pagho


📝BANGSA NUSANTARA JAYA (Sejarah, Peristiwa, Kegemilangan, Senibina & Budaya) ⚔️


Sumber : https://www.facebook.com/groups/830724801207627/permalink/878347143112059/


https://www.facebook.com/groups/830724801207627/?ref=share